Terima Kasih.

Yang dihargai!

Penghikayat

Blog Archive

25.11.11

walau dalam mimpi cuma

Salam buat pembaca yang budiman,

Sebenarnya baru beberapa jam saya membuat sticky post yang kononnya akan bersiaran semula pada 5 Disember 2012 namun akhirnya akur, bahawa saya harus menulis entri ini.  Saya ingin ianya menjadi suatu yang saya akan ingat sampai bila-bila, mungkin ia adalah antara jawapan kepada persoalan yang selalu saya tanyakan (yang kini saya baru sedar) mungkin inilah.. saya ingin yakin bahawa inilah jawapan kepastian yang saya cari.

Ok.. saya mulakan begini:  Beberapa  minggu yang lepas, saya mendapat perkhabaran dari seorang rakan baik bernama Zaharin Z (nama betul) bahawa salah seorang juga rakan rapat bernama Gar (bukan nama penuh, nama panggilannya) telah meninggal dunia pada tahun lepas.  Saya masih ingat pada ketika saya menerima pesanan teks darinya saya hanya bereaksi biasa sahaja dan hanya membuat panggilan susulan sehari selepas.  Ini kerana agak sukar untuk saya mempercayainya, memandangkan saya pernah menyatakan "manalah kawan yang sorang nie, ntah-ntah meninggal sudah".  Sungguh saya mengakui mulut jahat saya pernah berkata begitu.  Bukan kerana saya memusuhinya tetapi saya begitu rindu untuk berjumpa dengannya.  Apatah kami pernah berjanji akan berjumpa setiap kali solat raya di Masjid lama Daerah Keningau, Sabah.  Janji itu termeterai apabila saya berpindah tempat kerja.  Untuk lima tahun berturut kami dapat berjumpa namun akhirnya saya mendengar khabar dia telah balik ke negara asalnya, Indonesia.

Semenjak saya mendapat berita kematiannya, belum pernah sekalipun saya menyebut 'arwah', saya masih membahaskan dirinya dengan nama yang biasa saya panggil.  Saya sebenarnya kurang pasti tentang berita itu atau tidak ingin mempercayai (juga kini baru saya sedar) hakikat bahawa arwah telah tiada.  Dan belum ada setitik airmata pun tumpah kerana kehilangannya.  Saya berjaya membatukan hati kerana masih berharap berita itu satu lawak melampau (yang kalau betul hanyalah lawak... dan saya akan bersyukur).  Saya yakini  bahawa saya dalam proses menerima hakikat ini, tatkala saya (pada masa saya menulis) telah membahaskan dirinya 'arwah' dan tatkala (juga pada masa saya menulis ini) airmata turun mencurah.  Saya tidak malu untuk mengaku yang saya menangis dan ini entri paling beremosi pernah saya buat.

Siapakah arwah di mata saya?

Arwah adalah lelaki sejati (teori menyatakan lelaki yang gentleman akan bersikap baik dengan semua orang)  arwahlah orang  pertama yang menyapa dan mempelawa tempat duduk pada hari pertama saya di sekolah baru (ketika di tingkatan 4).  Agak sukar untuk saya menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah harian maklumlah setelah tiga tahun di sekolah asrama penuh.  Arwah banyak membantu saya dalam bersosial  di sekolah dengan sifat peramah dan mengajar saya untuk jadi jujur (dia tidak pernah malu untuk mengaku dirinya yang hidup susah pada ketika itu).  Kami menjadi lebih akrab selepas habis sekolah kerana sama-sama pernah bekerja di sebuah hotel.  Saya masih ingat arwahlah satu-satunya rakan yang berani menegur dengan cara yang paling saya boleh terima walaupun pedas.  Arwah sentiasa dengan riak cool dan innocentnya.  Yang paling terkesan buat diri saya ialah, arwah mengajar saya untuk jujur kepada diri sendiri.  Terima kasih yang tidak terhingga untuk itu .... sahabatku.

Kenapa baru sekarang?

Saya menulis entri ini kerana, saya bermimpi berjumpa dengannya.  Saya berjumpa dengan cukup sifat yang saya kenali dahulu.  Kami berbual-bual di dalam kereta (dan seperti biasa sayalah yang paling becok bercerita)  Saya tidak henti-henti bertanyakan perkembangan dirinya dan juga menupdatekan perkembangan (terakhir berjumpa dengannya pada tahun 2005) bayangkan berapa banyak yang kami tertinggal.  Dia masih dengan lagak selambanya namun bezanya dia banyak diam dan hanya mengangguk tersenyum.  Pada akhirnya saya baru tersedar dia telah tiada dan pada ketika itulah hati saya menjadi sebak dan sempat terfikir mungkin ini kesempatan yang diberi.  Mau saja saya tanyakan benarkah punca kematiannya itu tetapi saya tidak jadi bertanyakan kerana saya ingin memanfaatkan untuk saat-saat yang terakhir dengan baik.  Saya sempat mengusap belakangnya dan bertanya "Gar.. napa saya lambat tau..?" dan saya lihat wajahnya buat kali terakhir, wajahnya bersih berseri dan dia hanya mengangguk tersenyum.

Kenapa diblogkan?

Ketika terjaga dari tidur saya dalam keadaan yang teresak-esak. Jam menunjukkan pukul 2.05 pagi.  Hendak kejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur tak smapai hati, lalu saya hubungi abang untuk berkongsi rasa (kerana dia juga kehilangan kawan baiknya)  namun hampa abang sedang tidur hanya anaknya yang masih berjaga, seterusnya mencari rakan berbual di FB untuk saya ceritakan tentang mimpi itu.  Ada seorang rakan Nelly Z (nama sebenar) namun sapaan saya tidak berjawab.  Hubungi rakan Zaharin Z (juga tidak disambut) dan akhirnya  saya putuskan untuk berkongsi rasa ini di blog.  Sekurang-kurangnya akan menjadi kenangan bahawa saya pernah berjumpa dengan rakan baik saya yang telah tiada. Walau dalam mimpi cuma.

Al-Fatihah.

Lagu ini menjadi kegemaran semasa sama-sama bekerja di Grand Hotel, Keningau.








6 comments:

cinnamon.com said...

sebak saya membacanya,sedekahkan arwah dgn fatihah,semoga di tempatkan dlm golongan orang2 yg beriman.Al-Fatihah

Nong Andy said...

Kata org.. kalau dlm mimpi tu kita rasa dia masih hidup(lupa yg dia telah tiada) itu hanya mainan tidur-Tapi kalau dlm mimpi tu kita sedar dia telah tiada dan telah jumpa dgnnya dlm mimpi- memang dialah yg dtg dlm mimpi kita itu-allahualam.

moga rohnya di cucuri rahmat. alfatihah..

Adie Achim said...

cinnamon:
Terima kasih.
Maaf ya kalau penceritaan kurang kemas. Masa tu emosional sgt. Taip jer mana yg terfikir.

Adie Achim said...

Nong Andy:
Saya yakin betul itu mimpi yang diberi kesemepatan olehNya untuk berjumpa. Arwah seorang yang menjaga solatnya walau di mana pun berada. Wajahnya bersih dan berseri dalam mimpi itu. Alhamdulillah.

sukiman said...

saya tak tahu nak cakap apa...saya rasa sedih. semoga rohnya dicucuri rahmat...

Adie Achim said...

Sukiman:
hingga pada saat ini, saya rasa sebak bila teringatkan mimpi itu. Terutama apabila saya sedar dia sdh tiada dan saya betanyakan "kenapa saya lambat dapat tahu:

Sudah baca?

Related Posts with Thumbnails