Zaman budak
Ah! akan bosankah kamu kalau saya bercerita zaman kanak-kanak? Buruk sangatkah seorang lelaki bercerita tentang kisah comelnya. Memanglah tidak akan terlawan apabila seorang perempuan bercerita (dengan wajah dan aksi yang sweet) bercerita "masa kecik dulu, saya ada patung yang sangat comel!". Pun begitu saya tetap ingin bercerita, kalau tidak menarikpun cukuplah ia menjadi sesuatu yang pernah saya tuliskan.
Saya melalui zaman kanak-kanak sebagai seorang budak kurus dan hanyalah antara budak-budak kebanyakan. Saya kurang sangat menghadapi masalah kerana saya bukanlah pencari masalah. Oleh itu saya harus bersyukur punyai empat orang kakak dan tiga orang abang. Apa jua kejahatan yang mereka buat akan menjadi larangan dan apa jua kebaikan menjadi satu tauladan yang harus dicontohi. Bukannya diajar-ajar tetapi melalui pengamatan dan sebagai adik faham benar apa yang disukai dan dibenci oleh mumy dan dady (inilah panggilan buat kedua orang tua saya) . Oh ya! Saya sengaja terlupa menyebut saya punyai seorang adik perempuan (terima kasih kerana dia, saya ada adik, cuma saya tidak ada ada adik lelaki - nilah manusia kurang bersyukur!). Beza umur tiga tahun, jadinya saya tidak merasai nikmat mendapat adik baru. Sedar-sedar tanpa diperkenalkan saya sudah punya adik. Kami bermain dan bergaduh bersama.
Kami memang terkenal sebagai sebuah keluarga yang besar, saya sedari itu sejak di sekolah rendah apabila diminta melengkapkan butiran keluarga ruangan adik-beradik terpaksa ditambah (Kakak sayalah yang buatkan selepas itu saya buat sendiri semasa di sekolah menengah). Pun begitu saya seronok gelakkan rakan saya yang punyai lebih ramai adik-beradik. Malah pernah seorang guru membuat kenyataan kepada
adik, "saya telah mengajar enam generasi abang-abang dan kakak-kakak kamu". Bayangkan rumah kami sentiasa riuh semasa bersiap ke sekolah ada yang mencari stokin, mencari buku teks, siapkan kerja rumah, minta tocangkan rambut dan minta pakaikan kasut (sayalah tu). Sabarnya mumy melayan kami dan seronoknya dady melihat saja (betul kan dady?).
Hubungan adik-beradik sangatlah akrab, memandangkan jumlah beradik yang ramai kami akan bermain bersama pada waktu petang. Kami bermain di depan rumah dan biasanya anak-anak jiran yang lain akan turut bersama bermain. Biasanya kami akan bermain galah panjang, rounders, police and thief (dulu kami sebut polisentip) main sembunyi-sembunyi dan pelbagai lagi jenis permainan. Lagi memeriahkan suasana petang, di hadapan rumah adalah padang bola dan pada kebiasannya setiap petang abang-abang akan bermain di situ. Kampung kami memang terkenal dan selalu menganjurkan pertandingan bola malah selalu menjuarai perlawanan antara kampung. Oleh kerana padang bola betul-betul berhadapan dengan rumah, bola selalu tersasar ke atap zink rumah (bunyi dentingan yang amat kuat! saya masih ingat bunyi itu).
Saya hanya mulai serius belajar ketika darjah empat apabila keputusan
penggal kedua saya mendapat nombor 20. Kalau tidak silap ada duabelas
orang lagi di belakang namun itu keputusan terburuk pernah saya dapat.
Mumy tidak marah, dia hanya menasihatkan dan berjanji sekiranya mendapat
tempat pertama, kedua atau ketiga pada peperiksaan akhir nanti akan
dihadiahkan sebuah basikal-BMX. Saya ingat lagi buku rekod itu
ditandatangani oleh kakak yang mahir meniru tandatangan dady (dia selalu
melakukannya apabila ingin mengikuti kegiatan sekolah tanpa perlu
mendapat kebenaran dari dady). Akhirnya bagaikan ajaib lagi mustahil
saya mendapat tempat kedua pada peperiksaan akhir. Saya akan tersenyum
tiap kali teringat cikgu berkata, "dulu dapat nombor 20 sekarang dapat
nombor dua tapi buang kosong".
Saya punya jiran yang merupakan rakan karib, kami bukanlah sebaya kerana dia muda setahun tetapi saya begitu memandang tinggi terhadapnya. Dia punyai banyak pengetahuan tentang hidup (bayangkan dialah yang memberitahu tentang bagaimana seorang ibu mengandung dan melahirkan anak) malah dia jugalah yang mengajar pelbagai teknik dalam bermain guli, melastik burung dan bermain bola. Kami ke sekolah bersama dan ketika saya mendapat basikal sempena kejayaan mendapat tempat kedua dia turut dibelikan basikal oleh ayahnya agar kami dapat bersama ke sekolah. Kami pernah menubuhkan sebuah kumpulan penyiasat, semuanya gara-gara pengaruh buku penyiasatan namun tidak pernah sekalipun membuat penyiasatan. Kami menjadi renggang ketika saya memasuki sekolah berasrama penuh.
Berkisar pasal masalah..Hmm.. saya kurang memikirkannya pada masa itu, sekali-sekala saya mendengar tentang kesempitan duit. Dady seorang polis manakala mumy surirumah sepenuh masa. Dady seorang yang 'business minded' sambil bekerja dia turut melakukan pelbagai kerja luar antaranya mengusahakan penanaman tembakau, memelihara puluhan lembu (bagi tujuan perahan susu). Dady juga ada menyewa tapak sayur, tapak jualan daging dan ikan di pasar (saya berniat untuk menceritakan lebih lanjut di entri yang lain). Bagi mengurangkan perbelanjaan mumy dan dady mengerjakan sawah dan menanam pelbagai jenis buah-buahan. Memanglah dady menggaji orang untuk membantunya namun kami (kami? err.. saya dan adik kurang membantu sebenarnya. Kami membantu semasa meraih hasil hehee) turut terlibat dalam menjayakan pelaksanaannya.
Perkara yang begitu kuat di ingatan ialah apabila saya amat takutkan abang sulung. Dia saya gambarkan sebagai makhluk yang paling mengerunkan ketika itu. Semua arahan dan perintahnya adalah muktamad dan dia sungguh berkuasa pada masa itu. Memandangkan mumy dan dady tidak pernah memukul kami maka saya rasakan abang sangat kejam apabila dia menghukum (bukannya teruk mana pun dicubit, dirotan.. tu jak yang saya ingat). pada waktu malam kami akan keluar dari rumah dan belajar di stor (kami panggil stor tapi ruangnya amat luas) dan di situlah kami adik-beradik mentelaah pelajaran sehingga pukul 10.00 malam. Dia akan memantau secara berkala mankala mumy akan menghidangkan air kopi atau milo buat kami. Saya seronok melihat gelagat abang nombor tiga yang tersengguk-sengguk mengantuk (dia memang kuat tidur) dan paling saya nantikan dia tertangkap sedang tidur oleh abang sulung.
Saya masih ingat lagi, bilik abang sulung bagaikan sebuah perpustakaan. Sehingga kini saya dapat bayangkan rak buku (yang dibuat sendiri- saya amat kagum kerana saya memang tidak punyai kemahiran bertukang) yang sarat dengan buku-buku pelbagai genre. Tapi yang paling saya ingat deretan koleksi buku seram; manusia harimau, berkawan dengan syaitan, berkahwin dengan jin. Semuanya habis saya baca secara sembunyi, saya hanya berpeluang membacanya ketika dia keluar rumah. Pernah juga saya menyeludup keluar buku dan membacanya di luar namun saya akan pastikan mengembalikannya di tempat asal tanpa pengetahuannya. Abang memang tidak benarkan kami membaca selain dari buku pelajaran. Ada satu peristiwa apabila kami adik-beradik diarahkan mengemas biliknya, saya dengan berani membantah arahannya dan dia melarang saya untuk masuk ke biliknya. Rupa-rupanya dia tahu saya selalu masuk ke biliknya untuk membaca, mungkin kerana hanya saya seorang yang minat membaca.
Kami sekeluarga menyambut tahun baru dengan meriah. Biasanya sambutan ini disambut bersama jiran sekampung di sungai yang berdekatan (maklum tidak ada laut). Biasanya akan ada banyak makanan dan juga mercun untuk diletupkan pada malam tahun baru. Aktiviti mandi dan berendam seluruh badan adalah wajib (kononnya untuk membuang nasib malang - kami panggil upacara buang sial) dan lagi bagus ialah mandi kemudian menanggalkan pakaian yang dipakai untuk dihanyutkan (memang ada yang buat- tapi kami tak pula sanggup buat begitu). Lama-kelamaan sambutan itu semakin kurang diadakan. Kami sekeluarga hanya menyambutnya di rumah dengan menyediakan makanan dan bersiram-siraman di dalam rumah. Bagaikan masih terasa debaran menunggu tepat pukul 12 malam, masing-masing dengan stok air untuk aktiviti bersiraman (bayangkan seluruh rumah basah!).
Antara perkara lain yang saya tidak ingat namun kerap diceritakan oleh abang dan kakak ialah apabila saya dipanggil dengan nama 'Sugus'. Ini kerana setiap kali iklan itu ditayangkan saya akan menari tanpa segan-silu walau di manapun berada. Menurut mumy pula, ketika saya menaiki pesawat buat pertama kali ketika berumur tiga tahun saya menangis kerana mahukan kereta mainan (yang sebenarnya kereta betul cuma pandangan dari atas menyebabkan saya sangkakan itu adalah kereta mainan). Puaslah pramugara dan pramugari yang memujuk sebab saya menangis sepanjang penerbangan dari sandakan ke Kota Kinabalu. Abang saya pula kerap mengulang ceritakan ketika berumur lima tahun saya bertanyakan kepada abang bila anak-anak anjing dibuatkan surat lahir (anak anjing yang baru lahir. Oh ya! Kami pelihara anjing semasa kecil).
Begitu indah mengimbau zaman budak dan betapa riangnya hati mengisi hari-hari pada masa itu. Semuanya terakam kemas dan mekar sebagai memori indah yang tidak akan terlupakan (mungkin kalau dah nyanyuk akan lupa sebab itu ia ditulis). Tapi ada sesuatu yang saya bawa sehingga kini. Saya masih takutkan ayam, itik dan burung. Ampun! saya pernah tidak dapat keluar rumah kerana ada burung sesat di dalam rumah (masa tu hendak keluar ke pejabat), saya terpaksa menghubungi rakan untuk meminta bantuan. Mengapa saya takutkan haiwan bersayap tu? Sebabnya semasa kecil saya selalu tanpa sengaja dan sengaja membunuh mereka. Saya kerap terpijak anak ayam, melemaskan anak itik, merejam ayam dengan buluh dan mengambil anak burung (kononnya untuk dijaga tapi akhirnya mati dihurung semut). Kemuncak kepada kejahatan (samada sengaja dan tidak sengaja) saya telah bermimpi diserang oleh kumpulan ayam, itik dan burung. Bermula dari itu saya jadi trauma. Sehinggalah ke hari ini.
Comments
Hahah... langsung tak rasa bersalah dan berdosa.
Lupa kah abang secara haramnya kita menyambung bekalan elektrik selepas diputuskan. Lawaknya bila pegawai tu dtg untuk memberi bil, meter masih berjalan bil tetap naik hehehe.
Ingat tak abang permainan kita sepanjang jalan pergi dan balik sekolah?... Pagi kita akan mencari tempat atau benda untuk diingati tgh hari (balik sekolah), siapa sebut dulu tempat dan benda akan menang. Seronok kan, secara tidak langsung ia membantu untuk meningkatkan minda kita.
Owh...adik baru prsn polisentip tu police and thief eh?...hahaha 25 berlalu baru adik tau sebutan yang betul....
lucu juga kereta betul di sangka mainan..nasib tak terjun kat tingkap ..nak ambil kereta..heheh
sugus..!
Allah Maha Besar
Aku spesis yang nakal masa budak dulu.. boleh di cop sebagai ketua Lanun. jadi memang banyak cerita jugalah haha..
Abang tak lupa semua tu, memang berhasrat untuk cerita di entri yang lain. Satu lagi kalau adik amsih ingat abang orang paling gembira masih adik masuk darjah 1. Ada kawan jalan sama2 setiap pagi. Kita cuba untuk jadi murid pertama yang sampai di sekolah. Adik masih ingat cmana kita redah kabus tebal waktu pagi. Berangan mcm di negara org putih saja2 bercakap sambil hembus nafas kuat mau tengok wap dari mulut. Trully u r part of my childhood! bitter n sweet memories.. always there..
Haha lucu betul. Kbetulan pula kita sama 9 beradik. Kamipun rasanya membesar dengan hasil tanah, hasil sawah tu lah yang memberi sumber nasi. Kami tidak pernah beli beras dan hanya sejak kebelakangan ini barulah membeli beras sebab orang tua sudah tidak larat mengusahakan.
Hahah kena pula saya budak yang tak reti bahasa, takkan berhenti nangis selagi tak dapat. Hmm.. nampaknya anak sulung aku mengikut!
Comel kan nama Sugus!
Kami adalah keluarga mualaf, masing2 memeluk Islam secara berasingan diakhiri dengan kedua orang tua kami. Alhamdulillah.
Saya masih ingat kisah awk suka melukis sampai tukar jurusan tanpa pengetahuan ayah.
Banyak juga kisa yang memilukan sebenarnya namun saya lipat dalam memori luka. Biar ia kekal disitu. Selamanya.
Ingatkan kami saja yang akan bercerita sampai pagi :) kalau berpeluang berkumpul kami sekeluarga akan makan bersama. Macam2lah cerita akan keluar. Dan dengan adik bongsu pula kami akan bercerita sampai pagi. Cerita yang diulang2 namun tetap ingin diceritakan semula.
Hehe... adk bsyukur punya abang spt abang sb adk learn so many things from you since i know the world. Many ways to be a girl to be teenager to be a wife and also mom to be. Bkn daddy dan mummy x ajar but when its comes frm you it'll stick in myheart myb bcoz we both spend so many years together bitter and sweet. X sah klu x bsembang smpi pg buta klu bjumpa, mcm ada yg x kena sedih pun ada smp nk nangis....mujur tsedar dh tua bangkak hehe....
Well.. dun worry as long as I am still alive u can call me 24 hours and 7 day a week.
Entri terkini : Persiapan Ramadhan
Betul! masa kecik kalau ditanya umur sajer tambah umur tua setahun dua.. skrg ni pla klu bleh nak kurangkan angka depan tu :)
Adie,
serius bah ko mimpi di serang oleh burung2 tu..? wah.. pembalasan si tangang betul ekekeke..
aku pernah kurung anak2 ayam dlm parit.. konon mau tangkap. tapi bila aku buka parit tu.. matai udah semua anak ayam tu. nasib baik anak2 ayam tu tia masuk dlm mimpi ku :p
Ya sampai sekarang kami macam bestfren la pula. Dan hanya sekarang baru rapat dengan abang sulung.
Mimpi saya diserang tu adalah betul (skemanya jawapan hehe) Saya bermimpi lompat dari tempat yang tinggi. MAsa mendarat tu ada banyak anak ayam. Habis mati terpiak. Tak semena2 ibu ayam datang menyerang. Tak pasal2 sekumpulan itik pula datang mengasak. Dan mimpi itu semakin over apabila tiba2 burung yg entah dari mana terbang dan mematuk2!
Kreatif juga ko kurung anak ayam dalam parit.. Siaplah ada pembalasan untuk ko tu!
a... pasal kurung anak ayam tu memang aku kesianlah. aku mau tangkap ja bah tu.. tapi mami ayam tu nda mo lagi.. mana aku tau gitu jadinya sob..sob.. rasa persalah o...